Sunday, January 1, 2012

Demo UPSI Bertukar Jadi Tragedi Berdarah Malam Tahun Baru 2012? [UPDATE VIDEO]

by STAFF BERITA SEMASA on JANUARY 1, 2012
Kongsi Berita74
demo upsi 2 Demo UPSI Bertukar Jadi Tragedi Berdarah Malam Tahun Baru 2012? [UPDATE VIDEO]
Dalam keadaan malam tadi ramai yang tertumpu untuk menyambut tahun baru 2012, tetapi berlainan pula buat kalangan mahasiswa yang bertindak buat demo kebebasan akademik di UPSI. Tetapi lain pula jadi….
Apabila polis didakwa bertindak membelasah sekumpulan mahasiswa yang berhimpun. Dalam ramai-ramai mungkin ada kalangan yang membuat provokasi atau tidak ikut arahan & amaran yang diberikan oleh polis sehingga menyebabkan polis “hilang sabar & pertimbangan” seterusnya bertindak sebegini rupa. Mungkin?
Tetapi walaubagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk pihak polis membelasah sesuka hati. Tindakan kasar yang dilakukan bukanlah satu tindakan yang sangat bijak daripada pihak keselamatan negara sebenarnya.
demo upsi Demo UPSI Bertukar Jadi Tragedi Berdarah Malam Tahun Baru 2012? [UPDATE VIDEO]
Apatah lagi, Malaysia yang sudah termaktub dalam perlembagaan meletakkanhak untuk rakyatnya berhimpun. Bagaimana kita rangka undang-undang, kemudian kita pijak semula undang-undang tersebut?
demo upsi 4 Demo UPSI Bertukar Jadi Tragedi Berdarah Malam Tahun Baru 2012? [UPDATE VIDEO]
Kalau tidak boleh, katakan tidak boleh daripada awal. Bukannya undang-undang yang ada terpakai hanya untuk satu dua kelompok sahaja. Pastikan semua menggunapakai undang-undang yang sama.
Semakan video yang memaparkan keadaan yang berlaku semasa demo UPSI daripada kalangan mahasiswa yang memperjuangkan kebebasan akademik pada malam tadi :
P/S : Kepada mahasiswa yang terlibat, pastikan perjuangan yang cuba anda tegakkan “berjalan seiring” dengan penimbaan ilmu anda selama mana anda di universiti. Apatah lagi peperiksaan akhir akan berlangsung tidak lama lagi.
PP/S : Satu lagi kena ingat demo bersifat provokasi tidak akan mampu sebarang masalah dengan baik

Dua Kolej Swasta di Sabah Bertaraf 5 Bintang - MyQUEST

FRIDAY, DECEMBER 30, 2011



KOTA KINABALU 28 Dis. - Tiada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini yang mendapat penarafan enam bintang dalam penilaian Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) 2010/2011.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, hanya dua kolej swasta di negeri ini yang mendapat penarafan lima bintang.

"Bagi saya pencapaian keseluruhan kolej swasta di negeri ini seperti sweet and sour,bagaimanapun saya optimistik, jika semua pihak terbabit berusaha kita akan dapat meningkatkan lagi ke tahap terbaik.

"Jadi, saya harap, kalau kualiti mereka di bawah tiga bintang, mereka akan mengambil tindakan dan membaikinya kepada sekurang-kurangnya tiga bintang dalam audit 2013 nanti," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Sabah (PIPTSS), Datuk Wong Khen Thau.

Menurut Masidi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajaran negeri, hanya terdapat 16 buah kolej swasta di negeri ini bertindak proaktif mengambil inisiatif mengikuti program MyQUEST.

Katanya, daripada jumlah itu, Kolej Asian Tourism International (ATI) dan Kolej Antarabangsa Almacrest telah mendapat penarafan lima bintang.

Katanya, Kolej Eastern, Kolej Inti dan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Kota Kinabalu pula telah mendapat penarafan empat bintang.

"AMC School of Business dan Institut Sinaran mendapat tiga bintang manakala Kolej Kinabalu Commercial dan Kolej Yayasan Sabah mendapat dua bintang.

"Kolej yang mendapat satu bintang pula ialah Institut Seni Sabah, Kolej Masterskill Kampus Metro Kota Kinabalu, Kolej Multimedia Sabah dan Kolej Teknologi Antarabangsa Cosmopoint Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka dihantar ke institut pendidikan tinggi yang dapat memberikan kualiti pendidikan yang baik.

Jelasnya, maklumat mengenai penarafan setiap kolej boleh dirujuk di laman web Kementerian Pengajian Tinggi sebagai rujukan dalam memilih sesebuah kolej.

Sementara itu, Khen Thau berkata, pihaknya akan menubuhkan Tabung Pendidikan 1Sabah bernilai RM1juta bagi menyediakan geran bantuan kepada pelajar yang layak menyambung pengajian di kolej swasta di negeri ini.

"Geran berupa biasiswa ini akan diberi kepada pelajar Sabah, bagaimanapun, pada masa ini, kita masih membincangkan mekanisme yang akan dibuat dalam menyalurkan bantuan ini," ujarnya.

- Utusan

Tarikh Tutup Rayuan Program Latihan Perguruan GSTT Dilanjut Sehingga 29 Disember

PM LANCAR REKA BENTUK WANG KERTAS BARU MALAYSIA MULAI 2012



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan reka bentuk wang kertas baru termasuk not RM20 baru yang akan mula diedarkan tahun depan.
Wang kertas RM20 kembali diperkenalkan dalam siri matawang baru Malaysia. Wang berwarna kuning keemasan itu memaparkan dua spesis penyu yang hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu penyu karah dan belimbing.

Semua wang kertas baru akan diedarkan pertengahan tahun depan.

Not RM50 sudah pun diedarkan dan syiling yang dilancarkan Julai lalu akan diedarkan Januari 2012.


UPSI SIASAT PELAJAR TESL SEM 5 BIADAP TURUN BENDERA GAMBAR PM

DR ZAKARIA (kiri) berkata sesuatu selepas menerima memorandum bantahan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim bersama parti komponen BN dan NGO serta wakil penduduk di hadapan pintu masuk utama UPSI, Tanjung Malim, semalam.

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat seorang pelajarnya yang didakwa bersikap biadap menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam kejadian di Dataran Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Sabtu lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof Madya Dr Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, sedang mengumpul bukti termasuk gambar yang disiarkan beberapa laman blog berhubung pembabitan pelajar terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Katanya, selepas penyiaran berita dan gambar berhubung pembabitan pelajar UPSI terbabit, pihak universiti beberapa kali cuba mencari dan menghubungi pelajar berkenaan untuk mendapatkan penjelasan tetapi tidak berhasil kerana telefon bimbitnya ditutup selain tiada di sekitar kampus.

“Pihak universiti sendiri tidak merestui perbuatan pelajar terbabit apatah lagi bakal menjadi pendidik. UPSI memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kerana jika benar dia bertindak demikian, ia jelas menjatuhkan imej UPSI pada mata masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum bantahan dari UMNO Bahagian Tanjung Malim bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil penduduk meminta UPSI mengambil tindakan tegas terhadap pelajar itu di depan universiti terbabit, semalam.

Pelajar semester lima Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) berusia 23 tahun yang juga peserta demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), didakwa menurunkan bendera tertera gambar Najib serta menggantikannya dengan bendera perhimpunan berkenaan Sabtu lalu.
Kejadian dikatakan berlaku apabila kumpulan mahasiswa membabitkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menuntut pemansuhan AUKU.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang mengetuai penyerahan memorandum berkenaan berkata, kejadian itu jelas menunjukkan sikap biadap pelajar terbabit sekali gus menjejaskan nama baik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khususnya UPSI. 


- BH

2 MENTERI MIC DIKRITIK DR PUAD UMUM NOVEL INTERLOK TANPA MENUNGGU MUHYIDDIN


Dua menteri MIC yang mengumumkan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik novel Interlok yang mencetuskan kontroversi daripada sukatan pelajaran sekolah mulai tahun depan dikritik oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Datuk Dr Mohd Puad menyatakan kedua-dua menteri, yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kementerian Pelajaran telah melampaui batas dengan membuat pengumuman.

Menurut Datuk Dr Mohd Puad, mereka sepatutnya menunggu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat pengumuman. Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada di luar negara dan akan kembali hanya pada 25 Disember ini.

"Saya hanya mendengar tentang keputusan penarikan balik novel Interlok pada malam Jumaat lalu apabila menonton berita di televisyen. Saya tidak dapat mengesahkan atau menafikan isu itu kerana saya tidak ada pada mesyuarat kabinet ketika isu itu dibincangkan," tambah beliau lagi.

Beliau menunjukkan rasa kesal dan menyatakan bahawa Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak sepatutnya mengabaikan menteri yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan.

"Tindakan mereka boleh mewujudkan salah faham. Mereka tidak sepatutnya melakukannya. Ia seolah-olah mereka tidak memberi peluang kepada menteri pendidikan untuk menjelaskan lagi," kata Datuk Dr Mohd Puad kepada akhbar The Sun.

Jumaat lepas,Datuk G. Palanivel, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Datuk Seri S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia, secara berasingan mengumumkan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik buku itu dari sukatan pelajaran sekolah.

Ketika dihubungi oleh akhbar The Sun, Datuk G. Palanivel mempertahankan keputusannya membuat pengumuman itu dan mengatakan bahawa penarikan balik novel itu dari sukatan sekolah bukan keputusan yang diambil secara tiba-tiba.

"Saya telah bercakap mengenai isu ini kepada Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Negara, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim pada 12 Mei apabila kami sama-sama melawat bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam ketika beliau sakit, dan saya memberitahunya Interlok tidak akan digunakan pada tahun 2012," kata Datuk G. Palanivel.

"Versi yang telah dipinda, yang telah kami telah persetujui, hanya digunakan kerana ia sudah diperkenalkan kepada sekolah-sekolah pada tahun ini. Dalam mesyuarat kabinet, kami hanya mengingatkan Timbalan Perdana Menteri untuk mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan buku itu tidak akan digunakan dalam sukatan pelajaran mulai tahun depan, "katanya semalam.

Sementara itu, sumber dari kementerian mengatakan bahawa Ketua Pengarah dipanggil bermesyuarat hari ini berhubung keputusan yang telah diterima mengenai novel yang kandungannya dipinda digunakan sebagai komponen kesusasteraan subjek Bahasa Melayu Tingkatan Lima.

"Kita boleh menjangkakan pengumuman akan dibuat Isnin ini," kata sumber itu kepada akhbar The Sun.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Sastera Kavyan, Uthaya Sankar SB memuji keputusan penarikan balik novel dan sabar menunggu kenyataan rasmi daripada kementerian.

"Kita hanya akan tahu sama ada penarikan balik Interlok adalah benar dan sah apabila Muhyiddin membuat kenyataan, yang sepatutnya dilakukan dalam masa terdekat ini, jadi kami sedang menunggu untuk mendengar pengumumman iti," kata Uthaya kepada akhbar The Sun ketika dihubungi.

"Kita bimbang sama ada ini akan menjadi satu lagi isu yang berbangkit, dimana Presiden MIC telah membuat satu kenyataan minggu lepas yang menyatakan bahawa parti itu gembira dengan pindaan kepada buku itu dan sekarang ini isu tuntutan penarikan balik novel secara tiba-tiba," katanya.

Uthaya juga melahirkan kebimbangan bahawa keputusan itu, jika benar, boleh menjadi satu agenda politik semata-mata bertujuan untuk memenangi undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan berlaku.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz ketika dihubungi menayatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan berhubung isu penarikan balik novel Interlok.

"Saya hanya tahu tentang perkara ini apabila tersiarnya berita di televisyen, radio dan akhbar. Pihak-pihak yang tidak berpuas hati telah pun bersetuju supaya versi itu dipinda, yang kemudian telah dicetak dan diedarkan ke sekolah-sekolah untuk sesi pembelajaran tahun depan. Saya kini menunggu arahan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, "katanya.

Interlok merupakan sebuah buku teks sebagai komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu tingkatan lima yang digunakan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Novel yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, mengisahkan tentang kehidupan tiga orang dari tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.

Ia dikatakan mewujudkan kontroversi kerana terdapat frasa-frasa tertentu dan kata-kata yang dianggap bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti masyarakat India. Beberapa pindaan telah dibuat kepada awal tahun ini.

Sumber: The Sun Daily

7,079 GSTT Ditawarkan Mengikuti Kursus Perguruan Bermula Januari 2012

MONDAY, DECEMBER 19, 2011

7,079 GSTT Ditawarkan Mengikuti Kursus Perguruan Bermula Januari 2012



PUTRAJAYA: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.
Katanya, dari jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.
Beliau berkata mereka itu merupakan antara 13,184 GSTT yang telah berkhidmat sejak Jun tahun lepas dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya telah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Dis 2010.
"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT. "Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSST yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini Isnin.
Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan (26 Dis) untuk membuat rayuan.
"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut.
Bagaimanapun, katanya disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service".
"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya.
Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT.
Wee berkata Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa kesemua GSST berkenaan, tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lepas. "Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap telah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA

Siswa Tidak Akan Memohon Maaf Kepada PM Insiden Turun Bendera Wajah Najib

MONDAY, DECEMBER 19, 2011

Siswa Tidak Akan Memohon Maaf Kepada PM Insiden Turun Bendera Wajah Najib


KUALA LUMPUR - Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpendirian tidak akan memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas insiden menurunkan bendera wajah Perdana Menteri di Perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Pengerusi SMM, Abdul Syukri Abdul Razab berkata, pihaknya tidak nampak keperluan memohon maaf terhadap insiden tersebut walaupun didesak pelbagai pihak.

“Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf.

“Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat” katanya.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan sepatutnya menumpukan tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang dikemukakan kumpulan mahasiswa itu, berbanding isu menurunkan bendera wajah Perdana Menteri.

“Isu cuba digembar-gembur ini dianggap kecil dan tidak perlu diberi perhatian berlebihan.

“Perkara menjadi keutamaan adalah tuntutan mereka berbanding tindakan yang dilakukan ketika perhimpunan mahasiswa yang disertai lebih dari 300 orang,” katanya.

Katanya, tindakan menurunkan bendera tersebut juga sebagai satu gambaran tentang kita sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara yang dilihat gagal menangani isu-isu utama negara.

“Kita tidak mahu terlibat dalam retorik politik, sebaliknya kerajaan perlu melihat semula tuntutan yang kita perjuangkan sekarang,” katanya.

Abdul Syukri berkata, sekiranya tiada tindakan dilaksanakan, pihaknya akan terus mendesak perubahan sehingga melibatkan saluran demokrasi yang ada.

Katanya, kejadian penurunan bendera tersebut adalah tindakan spontan mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan.

Menurutnya, tiada tindakan agresif dilakukan mahasiswa dan hanya kurang dari lima minit bendera tersebut diturunkan sebelum kembali ke tempat asal semula selepas itu.

Ketika ditanya apakah tindakan mereka enggan memohon maaf bertentangan dengan pendirian sederhana diperlihatkan oleh Saifuddin yang sanggup menerima memorandum mereka kelmarin, Ahmad Syukri berkata, pihaknya tidak melihat ia akan menjejaskan imej timbalan menteri itu.

“Sebaliknya kami berharap Datuk Saifuddin akan lebih berani memperjuangkan keterbukaan dan kepentingan generasi muda,” katanya.


- SH

Kontrak baru wajibkan guru sandaran kerja setiap hari

Kontrak baru wajibkan guru sandaran kerja setiap hari
Seramai 8,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengeluh dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula kontrak perkhidmatan baru mereka yang dianggap membebankan termasuk perlu hadir di sekolah pada hari Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak GSTT Shamil Nor berkata penukaran daripada "Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat juga menghendaki guru berkenaan memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember berjumlah RM 3,476 setiap seorang.

"Kontrak yang baru ini juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perlu hadir di sekolah tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, sungguhpun tiada sesi pembelajaran atau gaji dipotong," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau juga berkata di samping itu semua mereka hanya dimaklumkan mengenai penukaran kontrak itu pada 10 Nov sedangkan kontrak ini telah berkuat kuasa pada 17 Okt.

"Walaupun kontrak yang baru ini telah berkuat kuasa namun saya dimaklumkan terdapat Pejabat Pendidikan Daerah yang masih tidak memaklumkan perkara itu kepada guru sandaran di daerah mereka sedangkan esok semua guru sandaran diminta menandatangani Surat Akujanji berhubung kontrak yang baru itu," katanya.

Sementara itu Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah itu.


- Bernama



http://www.malaysiakini.com/news/184169

AUKU 1971: Draf Pindaan Dijangka Dibentang di Parlimen Mac

TUESDAY, DECEMBER 13, 2011

AUKU 1971: Draf Pindaan Dijangka Dibentang di Parlimen Mac

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Draf pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kementerian, melalui Jawatankuasa Pindaan AUKU, akan mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pihak universiti berhubung cadangan pindaan kepada Seksyen 15 AUKU 1971 itu sebelum draf tersebut disiapkan sebelum akhir bulan depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, jawatankuasa ini bertujuan mendapatkan pandangan institusi pengajian tinggi (IPT) dan akan melihat AUKU secara keseluruhan berikutan cadangan meminda Seksyen 15 bagi memastikan seksyen lain di dalam AUKU adalah selari dengan cadangan pindaan.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan pindaan AUKU adalah selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10 mengenai hak-hak bersuara, berpersatuan dan berkumpulan secara aman.

Seksyen 15 AUKU 1971 menyebut pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atau diluluskan oleh Naib Canselor.

Khaled berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meminda AUKU dengan menekankan kepada dua prinsip iaitu membenarkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti serta parti politik di luar kampus, dan mengekalkan kampus sebagai entiti yang bebas daripada aktiviti politik kepartian. – Bernama

Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) di Limbang Disenarai Hitam PTPTN

MONDAY, DECEMBER 12, 2011

Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) di Limbang Disenarai Hitam PTPTN


Dokumen Perjalanan Terhad Bewarna Biru - Gambar Hiasan

LIMBANG 9 Dis. – Peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari daerah ini ibarat menerima hukuman lebih berat berbanding peminjam lain yang turut disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada ke luar negara.

Sewaktu peminjam tegar lain boleh bergerak bebas di negara sendiri, nasib yang dihadapi mereka lebih teruk apabila penyenaraian hitam itu menyebabkan mereka tidak boleh keluar masuk ke daerah sendiri.

Ini kerana daerah ini diapit oleh negara Brunei yang memerlukan mereka melalui pos Imigresen di Tedungan dan Pandaruan untuk melintasi negara itu sebelum ke kawasan lain di negeri ini ataupun Sabah.

Bagaimanapun, dokumen perjalanan terhad (DPT) atau lebih dikenali sebagai pasport biru oleh penduduk tempatan turut disenarai hitam sebagaimana pasport antarabangsa berwarna merah.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah sehubungan itu merayu kepada PTPTN dan Jabatan Imigresen supaya memberi kelonggaran dalam aspek penggunaan DPT oleh peminjam tegar terbabit.

Katanya, DPT adalah satu dokumen penting penduduk daerah itu dan ia tidak wajar disamakan dengan pasport antarabangsa.

“Memang tidak ada jalan darat untuk mereka keluar dari daerah Limbang tanpa perlu melalui pos Imigresen memasuki Brunei untuk ke bahagian lain di Sarawak atau Sabah.

“Pilihan yang ada hanyalah menggunakan kapal terbang ke Miri dengan jadual perjalanan dua ke tiga kali sehari, namun ia menyulitkan pada waktu kecemasan selain membebankan jika peminjam berkenaan mempunyai ahli keluarga yang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sehingga 31 Ogos lalu, seramai 132,801 peminjam PTPTN dikenakan tindakan senarai hitam pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen dan dihalang daripada ke luar negara membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM2.1 bilion.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, beliau telah menerima kira-kira empat ke lima aduan mengenai masalah itu namun percaya jumlah peminjam yang berdepan masalah itu adalah lebih besar.

Beliau turut menjelaskan rayuan supaya penggunaan DPT untuk peminjam tegar terbabit dilonggarkan bukannya untuk menggalakkan mereka tidak membayar hutang.

“Saya telah nasihatkan mereka supaya membayar hutang pinjaman dan saya sendiri menyokong pasport antarabangsa peminjam tegar di senarai hitam. Cuma kalau boleh penggunaan DPT ini diberi kelonggaran, jika tidak mereka ini bagaikan terperangkap di daerah sendiri,” katanya yang sudah beberapa kali membangkitkan perkara itu di Parlimen.

- Utusan